Semarak Pantun di Hari Lebaran

Pelajar FKPM UiTM bersama pensyarah yang terbabit dengan pertandingan #PantunRayaMudah

Fazurawati Che Lah
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
 

DALAM usaha menyemarakkan tradisi pantun sempena Aidilfitri, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) saban tahun tidak terlepas menghasilkan iklan hari raya sejak 2013 bagi meraikan kemeriahan Aidilfitri dengan tema dan jalan cerita tersendiri.

Pada tahun ini, produksi Iklan Hari Raya USIM 2019 membawa jalan cerita baharu dengan tajuk ‘Surprise Raya’ yang ditayangkan secara rasmi di media sosial rasmi universiti seminggu sebelum umat Islam menyambut 1 Syawal.

Cerita pendek itu menarik perhatian warganet apabila mendapat lebih 300,000 tontonan Facebook USIM dan saluran YouTube USIMTV.

‘Surprise Raya’ berkisarkan mengenai mahasiswa yang membawa watak Bard perlu membahagikan masa antara persiapan raya bersama keluarga dan dalam masa sama bakal menghadapi peperiksaan akhir semester selepas hari raya.

Kejutan yang diberikan keluarganya selepas tamat peperiksaan ternyata membuatkan Bard terharu.

Mesej moral yang ditekankan ialah mengenai ikatan kekeluargaan yang erat dan setinggi mana cita-cita seorang anak, ia tidak akan tercapai tanpa restu ibu bapa.

Video itu, dihasilkan Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) USIM bersama siswa StraComm Clique, seramai 32 kru dan pelakon terbabit dengan penggambaran pada April lalu di kampus serta perkampungan di Labu, Negeri Sembilan.


SEBAHAGIAN kru yang terbabit dengan cerita ‘Surprise Raya’.
 

Naib Canseor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad menyifatkan iklan raya USIM kali ini lebih unik dan turut memuji jalan ceritanya yang relevan.

Pada masa sama, Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) bekerjasama dengan Mudah.my menjalin kerjasama mengadakan pertandingan #PantunRayaMudah yang mendapat penyertaan 20 pelajar bagi merebut hadiah utama bernilai RM400.

Setiap peserta dikehendaki berkongsi pengalaman raya terbaik mereka menggunakan format pantun empat kerat dan menyampaikan persembahan melalui profil media sosial masing-masing.

Pertandingan itu diterapkan menjadi sebahagian daripada tugasan dalam kelas di bawah sukatan pelajaran fakulti yang dikreditkan ke subjek berkenaan.

Ketua Pemasaran Mudah.my, Andrew Patio berkata, pertandingan itu bertujuan memulihkan seni dan tradisi yang kian hilang dalam kalangan generasi muda serta menggalakkan mereka terus menyemarakkannya.

“Idea untuk menganjurkan pertandingan pantun tercetus apabila kami membincangkan cara meraikan musim perayaan sambil berhubung dengan golongan muda melalui pendekatan cara yang bermakna.

“Kami memilih untuk mempromosikan satu bentuk seni tradisional sebagai usaha mengekalkan dan memulihkan identiti budaya.

“Mudah-mudahan generasi muda akan mendapat inspirasi untuk menggunakan pengalaman ini bagi mencipta kerjaya yang berkesan dalam industri kreatif selepas menamatkan pengajian,” katanya.

 

Pautan : https://www.hmetro.com.my/bestari/2019/06/465939/semarak-pantun-di-hari-lebaran

Faculty of Communication and Media Studies
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia
 
General Inquiry
masscomm.korporat@uitm.edu.my

Website Inquiry

Webmaster : masscomm.korporat@uitm.edu.my

Tel Academic : -
Tel HEP : -
Tel Administrative : -
Fax : -