Kebersamaan penentu pencapaian organisasi
18 Februari 2022
SETIAP yang bergelar pemimpin pastinya mempunyai paradigma atau visi tersendiri hasil daripada pengetahuan dan pengalaman yang dilalui sebelum berada di posisi tersebut. Pemimpin yang mempunyai kewibawaan yang tinggi melihat kebersamaan sebagai penentu serta tunjang terhadap pencapaian sesebuah organisasi. Mereka inilah agen perubahan yang mencorak pelan strategik yang lebih mampan dalam memastikan pengurusan penyampaian perkhidmatan yang tangkas dan berprestasi cemerlang.
Namun begitu, pemimpin yang bijaksana tidak melakukan perubahan secara drastik tetapi memperhalusi terlebih dahulu ruang-ruang penambahbaikan yang perlu diberi keutamaan.
Kecil atau besar sesebuah organisasi pasti berhadapan cabaran tersendiri. Semakin besar sesebuah organisasi semakin rumit corak pengurusan terutama sekali dalam menguruskan sikap manusia.
Ini kerana latar belakang dan kompetensi setiap kumpulan kakitangan adalah berbeza. Sebagai pihak yang mengurus, kompetensi ini perlu dikenalpasti supaya setiap kakitangan dapat menjalankan peranannya secara efektif dan tidak mengambil sikap lepas tangan. Bergerak secara individu tidak memungkinkan keberhasilan yang diharapkan maka kakitangan yang ada perlu disinergikan secara holistik.
Melalui pembudayaan esprit de corps atau kebersamaan akan dapat menterjemah serta mencapai objektif yang telah dirancangkan. Antara kaedahnya adalah melalui komunikasi dua hala yang berkesan dari semasa ke semasa. Aspirasi organisasi perlu disampaikan dengan jelas supaya kakitangan merentas peringkat memahami peranan yang perlu digalas.
Pemimpin hendaklah memastikan semua kakitangan bercakap dan memahami perkara yang sama. Sebagai contoh, aspirasi UiTM iaitu salah satu universiti terbesar di Malaysia adalah menjadi Universiti Terkemuka Dunia menjelang tahun 2025 maka agenda ini perlu tersemat di minda dan jiwa kakitangan supaya usaha dan tindakan secara kolektif dapat dilakukan demi mencapai sasaran yang digariskan.
Prestasi semasa perlu diukur dan maklum balas dari kakitangan perlu diperoleh bagi memastikan perancangan tidak tersasar dari landasan. Sesi keterlibatan bersama kakitangan perlu dibuat secara berkala. Pemimpin yang cemerlang akan bergerak bersama-sama pasukannya bukan semata-mata memberikan arahan dan hanya menunggu hasilnya.
Kakitangan yang didengari, dihargai idea serta pandangannya pasti meraikan semangat kebersamaan dan berusaha merempuh dan memecah segala tembok yang menghalangi.
Dalam era digital yang serba mencabar dan penuh ketidakpastian ini, kita dituntut untuk mengeratkan kerjasama merentas disiplin supaya dapat menyumbang kepada penyelesaian masalah yang lebih besar.
Apabila semua memainkan peranan akan kukuhlah organisasi seperti akar dengan pokok. Akar yang kuat akan menyokong pokok menghasilkan daun, bunga dan buahnya. Inilah yang dinamakan kebersamaan iaitu saling menyokong dan memberi manfaat antara satu sama lain.
Setiap hasil yang dituai dari usaha secara bersama bukan sahaja membantu kesinambungan sesebuah organisasi malah juga menjadi jariah berpanjangan serta pahala yang mengalir bagi setiap penyumbang serta pelaksananya. Memetik kata Prof Datuk Ts. Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM yang boleh dijadikan inspirasi, hanya melalui kebersamaan akan berlakunya peningkatan kemahiran serta persaingan yang sihat dalam sesebuah organisasi.
Jika ini dapat dicapai maka akan membangunlah sesebuah negara. Begitu juga disebutkan Stephen Covey, penulis buku The 7 Habits of Highly Effective People, dengan kebersamaan dan bersinergi, jawapan kepada satu campur satu bukanlah dua tetapi boleh sahaja menjadi seratus, seribu atau lebih dari itu. Terpulang bagaimana ingin kita mencoraknya.
* Rohayu Ruwati Ibrahim ialah Penolong Pendaftar Kanan (Pentadbiran) Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Shah Alam dan Nurul Huda Roslan ialah Penolong Pendaftar, UiTM Cawangan Sabah
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/188553/KHAS/Pendapat/Kebersamaan-penentu-pencapaian-organisasi